Axiata Foundation bantu 1,000 pelajar B40 luar bandar melalui program kembali ke sekolah

GEMBIRA: Antara pelajar yang menerima bantuan Axiata Foundation melalui Program Kembali ke Sekolah.

 

RANAU: Axiata Foundation meneruskan komitmen memperkasa pendidikan inklusif dan saksama melalui pelaksanaan Program Kembali ke Sekolah yang memberi manfaat kepada 1,000 pelajar sekolah menengah daripada keluarga B40 di daerah ini menjelang sesi persekolahan 2026.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Axiata Foundation, Mohamad Kamal Nawawi berkata, program itu sebahagian daripada usaha berterusan Axiata Foundation menyokong pembangunan komuniti tempatan di Sabah berasaskan tiga teras utama yayasan berkenaan iaitu Pendidikan, Pelaburan Komuniti dan Alam Sekitar.

Mohamad Kamal Nawawi

Ketua Pegawai Eksekutif Axiata Foundation

Antara inisiatif aktif di Sabah termasuk kerjasama dengan Persatuan Usahawan Sosial Sabah (SOSEA) bagi memperkasa masyarakat luar bandar melalui pembangunan kemahiran, penjanaan pendapatan dan sumber sara hidup lestari.

 

Axiata Foundation juga bekerjasama dengan Pandai Education bagi memperluas akses pembelajaran digital kepada pelajar B40 melalui langganan aplikasi premium serta bersama Hopes Malaysia bagi melaksanakan Projek Air Graviti di Kota Belud untuk menambah baik akses air bersih dan menggalakkan amalan pertanian mampan.

 

Pelaksanaan berterusan Program Kembali ke Sekolah mencerminkan iltizam yayasan memperkukuh akses dan inklusiviti pendidikan, khususnya bagi keluarga berpendapatan rendah, melalui pemberian kelengkapan asas persekolahan kepada pelajar yang layak.

 

TERUJA: Pelajar menunjukkan barangan yang disumbangkan melalui Program Kembali ke Sekolah Axiata Foundation.

 

Majlis pelancaran rasmi program diadakan pada 10 November di SJKC Pai Wen di sini sebagai tanda perluasan capaian program itu di Borneo.

 

Sebanyak 1,000 pelajar daripada lima sekolah menengah iaitu SMK Mat Salleh, SMK Kundasang, SMK Ranau, SMK Lohan dan SMKA Mohamad Ali menerima set kelengkapan persekolahan lengkap termasuk pakaian seragam, kasut, stoking serta alat bantuan belajar seperti set geometri dan kalkulator saintifik.

 

Inisiatif ini dilaksanakan dengan kerjasama rapat Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Ranau.

 

Sebagai simbolik, Axiata Foundation menyerahkan replika cek bernilai RM214,000 kepada PPD Ranau mewakili sumbangan yayasan bagi pembelian kelengkapan persekolahan untuk penerima manfaat.

 

Sehingga kini, Program Kembali ke Sekolah Axiata Foundation memberi impak positif kepada sekurang-kurangnya 4,000 pelajar di seluruh negara dengan jumlah pelaburan mencecah RM1.7 juta.

 

KENANGAN: Pelajar serta rombongan Axiata Foundation merakamkan gambar kenangan bersama semasa penyampaian sumbangan Program Kembali ke Sekolah.

 

Mohamad Kamal berkata, teras utama yayasan dalam bidang pendidikan ialah memastikan peluang pembelajaran berkualiti dapat diakses secara saksama dan inklusif oleh semua pelajar.

 

Mohamad Kamal Nawawi

Ketua Pegawai Eksekutif Axiata Foundation

Yayasan percaya bahawa usaha ini memainkan peranan penting dalam menyokong kebajikan dan pendidikan kanak-kanak melalui bantuan dan sokongan yang disasarkan.

 

Pelaksanaan berterusan program seperti ini mencerminkan komitmen yayasan memperkasa masyarakat melalui pendidikan dan memastikan pelajar luar bandar di Sabah tidak ketinggalan dalam arus pembangunan negara.

 

BANTU: Sebahagian pelajar yang memperoleh manfaat daripada Program Kembali ke Sekolah Axiata Foundation

 

Melalui usaha berterusan itu, Axiata Foundation berhasrat mendorong pembangunan sosial dan ekonomi yang mampan serta inklusif di seluruh Malaysia.

Tags: Latest News Education